MrJazsohanisharma

Pendatang tanpa izin dibenar pulang


Oleh Johan Afandi johan@bharian. com.my



Langkah elak kebergantungan ketika gawat

JOHOR BAHRU: Semua pendatang tanpa izin yang berada di negara ini, kini dibenarkan pulang ke negara masing-masing tanpa dikenakan sebarang tindakan sebagai satu langkah kerajaan mengelakkan kebergantungan kepada pekerja asing ketika menghadapi kegawatan ekonomi

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar (gambar) ketika dihubungi Berita Harian di sini, semalam, berkata langkah berkenaan sama seperti yang pernah dilakukan kerajaan melalui program pengampunan semula selama empat bulan pada Oktober 2004.


"Ada hampir 1.2 juta pendatang tanpa izin di negara ini, majoritinya dari Indonesia dan kita berharap melalui langkah ini, ia akan dapat menggalakkan mereka pulang ke negara asal," katanya.


Sebelum ini, lebih 400,000 pendatang tanpa izin pulang selepas kerajaan mengadakan program penghantaran pulang selama empat bulan bermula Oktober 2004. 

Melalui program berkenaan juga, kerajaan dapat menjimatkan lebih RM2 juta kerana tidak perlu mengadakan operasi menahan pendatang tanpa izin berkenaan sebelum diadili di mahkamah dan seterusnya, dihantar pulang ke negara asal.

Difahamkan, KDN melalui Jabatan Imigresen akan mengadakan semula program penghantaran pulang pendatang tanpa izin serta Ops Nasihat bermula Februari ini.


Menerusi program terbaru ini, pendatang tanpa izin hanya perlu membawa dokumen daripada kedutaan masing-masing serta tiket pulang, ke Jabatan Imigresen dan mereka hanya akan dikenakan kompaun sebanyak RM400 selain bayaran RM100 untuk pas khas. 

Mereka kemudian akan dibenarkan meninggalkan negara ini tanpa dikenakan sebarang tindakan mengikut Akta Imigresen 2004, yang membolehkan mereka dipenjara dan dikenakan sebatan, sebelum dihantar pulang ke negara asal. 

Syed Hamid berkata, program penghantaran semula itu, membabitkan pendatang tanpa izin di seluruh negara termasuk di Sabah, yang dikatakan mempunyai jumlah pendatang tanpa izin paling ramai di negara ini.

"Kita mahu mereka menyerah diri secara sukarela tetapi operasi menahan pendatang tanpa izin tetap diteruskan Rela dan Jabatan Imigresen.

"Mereka yang ditahan pihak berkuasa akan dikenakan tindakan mengikut Akta Imigresen dan dihadapkan ke mahkamah.

"Sebab itu, saya meminta semua pendatang tanpa izin menyerah diri di Jabatan Imigresen dan dengan rela hati pulang tanpa perlu berhadapan sebarang tindakan undang-undang," katanya.
------------ --------- --------- --------- --------- --------- --------- --------- ------

ctt: yang dimaksud dokumen dari kedutaan adalah SPLP (Surat Perjalanan Laksan Paspor)
silakan informasikan kpd TKI yg datang ke M'sia secara ilegal...syarat pembuatan SPLP sudah tetera di kalender PIP PKS M'sia

Posting Komentar

Lebih baru Lebih lama